Oktober 27, 2009

AKTIVITI-AKTIVITI YANG AKAN MENYUSUL

Selepas selesai sahaja Penilaian Kendalian Sekolah Rendah 4, pada hari Selasa yang lalu, sekolah telah menjadi semakin sibuk dengan pelbagai aktiviti. Bukan sahaja guru-guru terpaksa mengejar masa bagi menanda kertas peperiksaan murid, serta menyiapkan laporan pada akhir tahun ini, malah aktivit-aktiviti penting juga telah diatur khusus kepada murid.

Bermula 27 Oktober 2009, satu aktiviti perkhemahan yang dikenali sebagai Kem 1 Malaysia akan diadakan sehingga hari Jumaat ini iaitu pada 30 Oktober 2009.Kem ini melibatkan seramai 50 orang murid Tahun 6, yang berbilang bangsa serta agama. Pelbagai aktiviti yang menarik telah dirancang buat murid-murid ini. Kepada guru-guru yang terlibat, selamat bermalam di sekolah dan selamat bertugas.



Berikutnya, pada 2 Nov sehingga 6 Nov 2009, akan diadakan pula Pertandingan Futsal bagi murid-murid Tahun 4-6. Pertandingan ini diadakan sebagai cara bagi mengeratkan hubungan antara murid, membina otot dan badan yang sihat serta memilih pemain-pemain hebat bagi mewakili sekolah dalam pertandingan bola sepak pada tahun hadapan.Pertandingan ini hanya akan berlangsung bermula 8.00 pagi dan berakhir 10.00 pagi bagi memberi laluan kepada murid-murid membuat latihan bagi aktiviti aerobikton.Jadi, selamat berjuang kepada semua pemain futsal.



Pada 11 November 2009 pula, aktiviti Klinik Bola Sepak akan diadakan selama sehari bermula pukul 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari. Klinik bola sepak ini melibatkan murid-murid tahun 3 hingga 6 iaitu seramai 150 orang. Dalam program ini, murid-murid akan didedahkan dengan teknik bermain bola sepak yang betul seperti menendang , membuat hantaran jarak dekat dan jauh, menggelecek, membuat jaringan, menanduk dan lain-lain. Terima kasih kepada PPD Petaling Perdana yang membiayai program ini. Oleh itu, kepada semua murid, bersemangatlah menuntut ilmu bola sepak.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan