Disember 20, 2009

PERUTUSAN AWAL TAHUN SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2010 - KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA


Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan selamat menyambut tahun baru 2010 kepada semua warga pendidik serta murid-murid sekolah.

Guru-guru serta Murid-murid yang dikasihi sekalian,

Izinkan saya mengucapkan selamat kembali ke sekolah dan memulakan lembaran baru pada sesi persekolahan 2010. Kepada guru-guru, sambutlah anak-anak didik kita ini ke alam sesi persekolahan yang baru dengan minda yang terbuka dan dengan penuh iltizam untuk membentuk mereka menjadi insan yang cemerlang seperti yang diharapkan oleh ibu bapa mereka dan negara.

Kepada murid-murid sekalian, ingatlah, sebagai generasi pewaris negara usaha murni menuntut ilmu dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti baik di dalam bilik darjah mahupun gerak kerja di luar bilik darjah adalah satu usaha membentuk personaliti, ketrampilan diri dan jati diri sebagai anak Malaysia. Ibu bapa, guru, masyarakat bahkan negara akan sama-sama berasa bangga apabila murid-murid berjaya dalam pelbagai bidang yang dipelajari di sekolah.

Saya menyeru kepada semua murid rebutlah peluang dan segala kemudahan yang disediakan di sekolah untuk menyiapkan diri sebagai orang yang berilmu, beramal dan menyumbang kepada kemajuan diri, masyarakat dan negara. Modal insan yang cemerlang tidak dapat dilahirkan dalam sekelip mata, bahkan ianya adalah usaha yang berterusan yang perlu dipupuk, dibimbing dan diasah bakat seperti kata pepatah, melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Pepatah juga mengatakan, “Akar ilmu itu memangnya pahit tetapi buahnya adalah lazat”. Maka sebagai murid, anda semua yang seharusnya berusaha untuk menjadi orang yang berpelajaran kerana pencapaian dalam masa persekolahan merupakan kenangan yang paling manis untuk diimbau kelak.

Para guru dan murid-murid sekalian,

Yang muda dikasihi, yang tua dihormati adalah satu perpatah yang perlu dipegang oleh semua guru dan murid-murid. Guru selaku suri teladan perlulah menunjukkan kasih kepada anak-anak murid mereka. Guru sabagai satu personalia seharusnya dapat menggunakan kebijaksanaan untuk menyentuh jiwa dan perasaan semua murid semasa berkomunikasi dua hala supaya ianya ibarat kata-kata yang terpahat di batu, kekal dalam ingatan, dan tidak hanya menjadi tulisan di atas pasir, yang hilang apabila di tiup angin.

Dalam alaf nano teknologi ini, semua pendidik perlu menyiapkan diri untuk mengemaskinikan semua fakta dan ilmu yang hendak disampaikan dalam mata pelajaran masing-masing. Gunakanlah kemudahan teknologi komunikasi maklumat untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang di sampaikan satu peristiwa yang sangat menyeronokkan kepada semua murid, bahkan para guru juga turut memperoleh pengalaman dan pengetahuan semasa berinteraksi dengan murid-murid.

Sebagai pendidik, semua guru harus menjiwai profesion ini kerana ianya merupakan satu profesion amat mencabar. Kalau seorang tukang jahit salah menjahit baju, hanya sehelai baju yang rosak tetapi jika seorang pendidik salah memberi didikan, kesannya adalah kepada satu generasi pewaris negara. seperti yang diungkapkan oleh Allahyarham Dato' Usman bin Awang (1979), "Berburu ke padang datar, Dapat rusa belang kaki, Berguru kepalang ajar Ibarat bunga kembang tak jadi”

Saya ingin menyeru kepada guru untuk memberi dedikasi, komitmen, dan keprihatinan yang tinggi kepada semua anak-anak didik. Guru selaku orang yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dapat mengenal pasti potensi dan bakat yang ada dalam setiap anak murid. Maka guru perlu menggembleng tenaga dan kepakaran untuk menggunakan maklumat ini bagi menggilap bakat dan memperkukuhkan potensi diri murid-murid untuk berjaya dalam semua bidang yang diceburi serta mengimbangi perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi.

Para guru dan murid sekalian,

Dalam memastikan kualiti pendidikan dan perkhidmatan yang disampaikan kepada murid-murid, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjadikan empat perkara sebagai fokus utama dalam bidang keberhasilan utama; iaitu Perluasan Prasekolah, Literasi dan Numerasi (Linus), Sekolah Berprestasi Tinggi, dan New deals for principals. Maka semua warga pendidik perlu menyambut perubahan yang sedang berlaku ini dengan tangan terbuka dan minda yang positif (positive mind-set) bagi memastikan semua yang di rencana dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan membuahkan hasil yang menunjukkan peningkatan dalam kualiti pendidikan di negara ini. Guru sebagai sumber ilmu perlu memantapkan diri melalui pendidikan berterusan. Penyertaan guru dalam pelbagai wacana dan forum serta kegiatan di pusat-pusat kegiatan guru adalah satu usaha yang berterusan dan perlu difokuskan untuk menambah ilmu serta pengetahuan kerana guru bukan saja sebagai penyampai ilmu bahkan orang yang bertanggungjawab untuk membentuk kaedah pemikiran positif dalam kalangan anak-anak murid. Pepatah ”jangan diberi ikan, tetapi ajarlah memancing ikan” adalah satu pepatah yang sangat hampir dengan profesion perguruan.

Para guru dan murid-murid yang saya kasihi,

YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran menyarankan sukan perlu diperkasakan. Maka bagi mencapai hasrat tersebut para guru dan murid-murid seharusnya bergiat aktif dalam pelbagai bidang sukan mahupun aktiviti kokurikulum sebagai usaha membudayakan gaya hidup sihat dan juga kecemerlangan sukan untuk negara.

Kepada murid-murid yang baru sahaja berjaya dalam peperiksaan UPSR dan PMR, saya mengucapkan tahniah dan teruskan perjuangan anda dalam usaha mencari ilmu dan pengalaman. Bagi murid-murid yang baru memasuki Tahun 1, jangan risau dan bimbang kerana seperti kakak dan abang-abang anda, sudah pasti pengalaman persekolahan akan menjadi satu yang menyeronokkan kerana anda akan memperoleh ramai kawan-kawan baru serta mendapat ilmu pengetahuan yang amat berguna sebagai persiapan menghadapi hari muka.

Harapan saya, kepada semua guru dan murid, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memajukan diri, masyarakat dan negara dalam semangat gagasan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan Dan Pencapaian Diutamakan”.




Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Bin Haji Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
4 Januari 2010, bersamaan 18 Muharam 1431

1 ulasan:

  1. Terima kasih Tuan Pengarah..
    Insyaallah, kami akan laksanakan amanah yang mulia ini sebaik-baiknya...

    BalasPadam