Rasulullah model terbaik insan cemerlang
SETAKAT manakah pencapaian seseorang insan itu untuk diiktiraf sebagai cemerlang dan apakah kriteria diguna pakai bagi mengukur tahap sesuatu kecemerlangan. Jika tahap kecemerlangan dapat diukur dengan tepat, maka perancangan strategi untuk mencapai kecemerlangan akan menjadi satu pelan tindakan yang praktikal, kukuh dan jelas.
Oleh demikian, perkara utama adalah penentuan matlamat tepat dan jelas. Sehubungan itu, Allah menggariskan dasar kepada matlamat kehidupan insan seperti firman-Nya bermaksud: “Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar.” (Surah al-Maidah, ayat 119)
Ayat ini menyatakan kejayaan besar ialah mendapat keredaan Allah dalam tempoh jangka masa panjang yang bersifat kekal dan abadi selamanya.
Segala perbuatan insan sewajarnya dilakukan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah dan bukan untuk mencapai matlamat lain kerana semua matlamat sampingan atau jangka pendek berpunca daripada keredaan Allah terhadap makhluk-Nya.
Justeru, bagi membolehkan semua insan mencapai kecemerlangan, Allah mengutus model insan cemerlang yang tiada tandingan sehingga hari kiamat, tidak lain dan tidak bukan, Nabi Muhammad.
Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Allah mengiktiraf Nabi Muhammad contoh ikutan terbaik bagi insan yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat. Uswatun dalam ayat itu bererti model, contoh ikutan untuk ditiru atau diteladani.
Berdasarkan ayat ini, keredaan Allah sesuatu menjadi harapan (yarju) bagi setiap insan yang sedar kedudukannya sebagai makhluk tidak memberikan kesan terhadap apa-apa benda atau perkara melainkan dengan izin-Nya.
Tema Insan Cemerlang Ummah Terbilang menggambarkan hasrat untuk mencapai matlamat sebagai ummah terbilang menerusi penghasilan insan cemerlang. Kewujudan insan cemerlang pada zaman Rasulullah terdiri daripada sahabat. Hal inilah diperjuangkan Rasulullah sejak dulu kini diwarisi ulama.
Kecemerlangan insan bukan diukur secara fizikal atau materialistik. Nilai yang digunakan untuk mengukur kecemerlangan insan ialah ketinggian akhlak.
Bahkan tugas utama Nabi Muhammad ialah menyempurnakan akhlak seperti dinyatakan Baginda dalam sabdanya bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Mengukuhkan penyataan ini, Allah membuat penegasan dengan firman-Nya bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia.” (Surah al-Qalam, ayat 4)
Akhlak dalam Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk nilai moral, etika dan adab. Setiap Muslim ditegaskan supaya menghayati nilai kerana insan cemerlang ialah yang paling baik akhlaknya.
Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang terpilih antara kamu ialah orang-orang yang mulia akhlaknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah juga menegaskan tunjang kepada kewujudan ummah terbilang diasaskan dengan penerapan nilai akhlak seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini?” (Hadis riwayat al-Tabrani)
Kesimpulannya, matlamat agung kewujudan manusia ialah untuk mendapatkan keredaan Allah sebagai satu kurniaan nikmat abadi, mManakala ukuran pencapaian atau indeks prestasi insan dalam mencapai matlamat itu ialah tahap ketinggian akhlak seperti dipamerkan Rasulullah.
Namun, penghayatan akhlak semakin merosot di kalangan ummah sehingga gejala sosial menjadi isu sukar dibendung. Untuk mencapai tahap akhlak yang tinggi, perlu kembali kepada ajaran Islam dengan menegakkan nilai Islam dalam kehidupan.